Monday, December 1, 2008

Menjawab Tuduhan Menjelaskan Kebenaran II

Fitnah Dilontarkan kepada Wahhabi

Ramai dari kalangan ulama Ahli Sunnah yang difitnah oleh aktivis bid’ah, malah mereka sanggup berbohong atas nama ulama.
Antara mereka yang menjadi mangsa selain Imam Syafie ialah Ibn Taimiyah.
Mereka menuduh Ibn Taimiyah berkata:
"Duduknya Tuhan di atas ‘Arasy sama dengan duduknya Ibn Taimiyah di atas kerusinya dan turunnya Tuhan dari langit sama seperti turunnya Ibn Taimiyah dari mimbar dan Tuhan itu dilihat (di sebelah) atas, boleh ditunjuk dengan anak jari ke atas"..


Kata-kata ini diambil dari Ibnu Bathutah, malangnya dia tidak pernah mendengar malah tidak pernah menghadiri majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh Ibn Taimiyah. Menurut catitan sejarah, sampainya Ibnu Bathutah di Damsyik pada hari Khamis 9hb. Ramadan 727H. Ibn Taimiyah dimasukkan ke penjara Damsyik pada awal bulan Sya'ban ditahun yang sama (727H). Tercatit dalam sejarah bahawa Ibn Taimiyah wafat pada malam Isnin 20hb. Zulqaidah 728H.

Ibn Taimiyah dituduh sebagai Wahabbi oleh mereka yang jahil tentang sejarah Ibn Taimiyah dan sejarah Muhammad bin Abdul Wahab, kerana kononnya Ibn Taimiyah menyerupakan Allah dengan makhlukNya (Mujassimah). Tuduhan ini berpunca dari kata-kata Ibn Bathutah, sedangkan Ibn Taimiyah penentang Musyabbihah dan Mujassimiyah sebagaimana penolakan beliau terhadap golongan Qadariyah, Jahmiyah dan Muktazilah
Timbul persoalan, bagaimana Ibnu Bathutah boleh melihat Ibn Taimiyah menyampaikan ilmu di atas mimbar Jamek dan boleh mendengar majlis ilmunya sedangkan setibanya Ibnu Bathutah di Damsyik Ibn Taimiyah telah dimasukkan ke dalam penjara[47]
Begitu juga, Ibn Taimiyah tidak pernah menyampaikan ilmunya di atas mimbar Jamek sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Bathutah: "Aku menghadiri majlisnya pada hari Jumaat, dia sedang menyampaikan ilmunya di atas mimbar Jamek". Malah Ibn Taimiyah tidak pernah berkhutabah di atas mimbar walaupun Ibnu Bathutah mendakwa: "Dia turun dari tangga-tangga mimbar". Kebiasaannya Ibn Taimiyah hanya duduk di atas kerusi semasa beliau menyampaikan pelajarannya.
Sebenarnya Ibnu Bathutah tidak pernah menulis tentang pelayarannya dengan tangannya sendiri [48]

Dimana ALLAH ?

Allah telah mengkhabarkan dengan firmanNya bahawa Dia mempunyai sifat, zat, nama dan bersemayam di atas ‘ArasyNya. Amat mustahil Bahasa Arab yang jelas yang digunakan oleh Allah Azza wa-Jalla di dalam al-Quran untuk menjelaskan tentang sifat, zat, nama dan tentang bersemayam di atas ‘ArasyNya
Allah telah menjelaskan dengan firmanNya bahawa dijadikan al-Quran dalam Bahasa Arab agar mudah difahami oleh para hambaNyatidak dapat difahami oleh hambanya


وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَّسُوْلٍ إِلاَّ بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ.


"Kami tidak mengutus seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka".
(QS. Ibrahim 14:4).


لِسَانُ الَّذِيْ يُلْحِدُوْنَ إِلَيْهِ أَعْجَمِيٌّ وَهَذَا لِسَانٌ عَرَبِيٌّ مُبِيْنٌ

Padahal bahasa orang yang mereka tuduhkan (bahawa) Muhammad belajar kepadanya bahasa ‘Ajam, sedangkan al-Quran adalah dalam Bahasa Arab yang terang”.
(QS. An-Nahl, 16:103).

إِنَّا جَعَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُوْنَ

“Sesungguhnya Kami menjadikan al-Quran dalam Bahasa Arab supaya kamu memahami(nya)”.
(QS. Az-Zukhruf. 43:3).


Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa bahasa al-Quran adalah bahasa yang jelas agar kita mudah memahaminya. Maka sudah pasti firman Allah di bawah ini dapat difahami dengan mudah :

اَلرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى.

"Ar-Rahman (Allah) bersemayam di atas 'ArasyNya".
(QS. Taha, 20:5)


اِنَّ رَبَّكُمُ اللهُ الَّذِيْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَاْلاَرْضِ فِى سِتَّةِ اَيَّامٍ ثَمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ.

"Sesungguhnya Tuhanmu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa. Lalu Dia bersemayam di atas 'Arasy".
(QS. Al-A'raaf, 7:54)

اِنَّ رَبَّكُمُ اللهُ الَّذِيْ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضَ فِى سِتَّةِ اَيَّامٍ ثَمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ.


"Sesungguhnya Tuhanmu itu adalah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, kemudian Ia bersemayam di atas 'Arasy".
(QS. Yunus, 10:3)


ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ.

"Kemudian Dia (Allah) bersemayam di atas 'Arasy".
(QS. Al-Furqan, 25:59

اَللهُ الَّذِيْ رَفَعَ السَّمَوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ.

"Allah adalah Zat yang mengangkat langit tanpa tiang yang kamu lihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas 'Arasy".
(QS. Ar-Ra'd, 13:2)

اَللهُ الَّذِيْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَاْلاَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِى سِتَّةِ اَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ مَا لَكُمْ مِنْ دُوْنِهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلاَ شَفِيْعٍ اَفَلاَ تَتَذَكَّرُوْنَ.

"Allah-lah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arasy. Tidak ada bagi kamu selain daripadaNya seorang penolongpun dan tidak seorang pemberi syafa'at. Maka apakah kamu tidak berfikir?".
(QS. As-Sajadah, 32:4)

هُوَ الَّذِيْ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالاَرْضَ فِى سِتَّةِ اَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ.

"Dialah yang telah menjadikan langit dan bumi dalam enam hari (masa) kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy".
(QS. Al-Hadid, 57:4)

ءَ اَمِنْتُمْ مَنْ فِى السَّمَآءِ اَنْ يَخْسِفَ بِكُمْ اْلاَرْضَ

"Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di langit bahawa Dia akan menyungkir-balikkan bumi bersama kamu".
(QS. Al-Mulk, 67:16

اِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَالِحُ يَرْفَعُهُ.

"KepadaNya (Allah yang di langit) naik perkataan-perkataan yang baik dan amal soleh dinaikkanNya".
(QS. Fathir, 35:10)

بَلْ رَفَعَهُ اِلَيْهِ وَكَانَ اللهُ عَزِيْزًا حَكِيْمًا.

"Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepadaNya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".
(QS. An-Nisa', 4:158)

يَاعِيْسَى اِنِّيْ مُتَوَفِّيْكَ وَرَافِعُكَ اِلَيَّ.

"Hai Isa, sesungguhnya Aku akan mematikan engkau dan mengangkatmu kepadaKu!".
(QS. Ali Imran, 3:55)

يَخَافُوْنَ رَبَّهُمْ مِنْ فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُوْنَ مَا يُؤْمَرُوْنَ.

"Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka (di langit) dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka)".
(QS. An-Nahl, 16:50)


Telah dijelaskan di dalam al-Quran, mutawatir di sunnah RasulNya serta ijmak para ulama Salaf as-Soleh bahawa Allah Ta'ala di langit. Dia bersemayam di atas 'ArasyNya.[49]
Sesiapa yang tidak menerima dan menolak berita ini, dia adalah seorang yang kufur terhadap wahyu Allah kerana berita penerangan yang menjelaskan Allah di langit dan bersemayam di atas ‘ArasyNya merupakan wahyu dari Allah Subhanahu wa-Ta’ala.


Dalam hadis-hadis sahih terdapat banyak keterangan yang menunjukkan bahawa Allah itu di atas langit ketujuh sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran.

Nabi Muhammad telah menjelaskan bahawa Allah itu di langit
Penjelasan ini juga dengan menggunakan Bahasa Arab yang jelas dan terang
Pastinya ia mudah difahami oleh mereka yang mahu beriman

Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

قَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : رَبُّنَا الَّذِيْ فِى السَّمَآءِ تَقَدَّسَ اسْمُكَ ، اَمْرُكَ فِى السَّمَاءِ وَالاَرْضِ كَمَا رَحْمَتُكَ فِى السَّمَاءِ اِجْعَلْ رَحْمَتَكَ فِى اْلاَرْضِ اِغْفِرْلَنَا حُوْبَنَا وَخَطَايَانَا اَنْتَ رَبُّ الطَّيِّبِيْنَ اَنْزِلْ رَحْمَةً مِنْ رَحْمَتِكَ وَشِفَاءً مِنْ شِفَاءِ كَ عَلَى الْوَجَعِ.

"Ya Tuhan kami, Tuhan yang di langit! Engkau mensucikan namaMu (juga) urusanMu yang di langit dan di bumi. Sebagaimana halnya rahmatMu di langit itu, maka jadikanlah pula rahmatMu itu di bumi. Ampunilah dosa-dosa dan kesalahan kami. Turunkanlah suatu rahmat dari antara rahmatMu dan suatu kesembuhan dari kesembuhan yang datang dariMu atas penyakit ini, hingga benar-benar sembuh".[50]

عَنِ بْنِ مَسْعُوْد قَالَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اَلْعَرْشُ فَوْقَ الْمَاءِ وَاللهُ فَوْقَ الْعَرْشِ لاَ يَخْفَى عَلَيْهِ شَيْءٌ مِنْ اَعْمَالِكُمْ . وَفِى الرِّوَايَةِ : وَهُوَ يَعْلَمُ مَا اَنْتُمْ عَلَيْهِ.

"Dari Ibn Mas'oud berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: 'Arasy itu berada di atas air dan Allah berada di atas 'Arasy. Tidak satupun dari amal kamu yang tersembunyi dari pengetahuanNya. Dan pada riwayat yang lain: Dia Mengetahui apa yang kamu kerjakan".[51]

اَلاَ تَامِنُوْنِيْ وَاَنَا اَمِيْنٌ مَنْ فِى السَّمَآءِ.

"Tidakkah kamu mahu percaya kepada aku sedangkan aku dipercayai oleh Yang di langit (Allah yang di langit)".[52]

Pengertian (فِى السَّمَآءِ) "Di langit" ialah (عَلَى السَّمَآءِ) "Di atas langit" bukan meliputi semua langit sebagaimana penjelasannya dari hadis:

اِنَّ اللهَ كَتَبَ كِتَابًا فَهُوَ عِنْدَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ.

"Sesungguhnya Allah Menulis segala ketentuan yang berada di sisiNya di atas 'Arasy".[53]


Hadis di atas menjelaskan Allah berada di atas ‘ArasyNya bukan meliputi ‘Arasy. Hadis ini diperkuat oleh firman Allah Subhanahu wa-Ta'ala:

اَلرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى.

"Tuhan Yang Maha Pemurah, bersemayam di atas 'Arasy".
(QS. Taha, 20:5)


Ayat ini menjelaskan bahawa Allah di atas ‘Arasy bukan meliputi ‘Arasy atau meliputi seluruh langit.


ثُمَّ اسْتَوَى اِلَى السَّمَآءِ.

"Dan Dia berkehendak menuju langit".
(QS. Al-Baqarah, 2:29).


Menurut al-Baghawi yang dinukil dari Ibn Abbas dan ramai lagi para mufassir, bahawa apabila memperkatakan tentang (di mana Allah) mereka hanya berpegang pada lahir lafaz "Istawa" (استوى) “bersemayan di atas ‘Arasy dan ‘ArasyNya di langit”. Menyerahkan kepada ilmu Allah bagaimananya keTinggian Allah 'Azza wa-Jalla yang sebenarnya.[54] Allah mempunyai zat “Jisim”. Namun, zat Allah Yang Maha Esa tidak menyerupai zat makhlukNya, kerana Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah firmanNya:


لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

“Tiada sesuatu yang menyerupaiNya”.


وَلَمْ يَكُنْ لَه كُفُوًا اَحَدٌ

“Dan tidak ada seseorangpun yang setara denganNya”. (QS. Al-Ikhlas, 112:4).




Berkata Ibn Taimiyah:

مِنَ اْلاِيْمَانِ بِاللهِ : اَلاِيْمَانُ بِمَا وَصَفَ بِهِ نَفَسَهُ مِنْ غَيْرِتَحْرِيْفِ فى كِتَابِهِ ، وَبِمَا وَصَفَ بِهِ رَسُوْلَهُ مِنْ غَيْرِ تَحْرِيْفِ وَلاَ تَعْطِيْل وَغَيْرِ تَكْيِيْفِ وَلاَ تَمْثِيْلِ بَلْ يُؤْمِنُ بِاَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ (لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ).

"Beriman kepada Allah ialah beriman dengan apa yang disifatkannya sendiri tanpa tahrif mengikut sebagaimana di dalam kitabNya, mengikut sebagaimana disifatkan oleh RasulNya tanpa tahrif, ta'til (meniadakan sifat Ilahiyah, mengingkari keberadaan sifat-sifat tersebut pada ZatNya), tanpa takyif (diperbagaimana) dan tanpa tamsil (memisalkan dengan makhluk), sebaliknya beriman bahawa Allah Subhanahu wa-Ta’ala (Tiada sesuatu yang semisal denganNya dan Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat)".[55]


Ibn Taimiyah berkata tentang golongan berjaya dan menolak Musyabbihah:

"Fahaman (yang selamat ialah) yang pertengahan, bukan golongan Jahmiyah yang menta'til (sifat Allah) dan bukan juga golongan ahli tamsil seperti Musyabbihah".[56]

bersambung
Nota kaki:
[46] Lihat: Syarah Hadis Nuzul. Hlm. 2. Zahir as-Syawisy. Cetakan kelima. 1397H-1977M. Al- Maktab al-Islami. Beirut.
[47] Ibid. Hlm. 2.
[48] Ibid.
[49] Lihat: علاقات الاثبات والتفويض بصفات رب العالمين
[50] H/R Abu Daud. No. 2892. Ahmad 6/21. (Hadis hasan).
[51] H/R Abu Daud, Abdullah bin Ahmad, Tabrani dan Baihaqi (Hadis hasan, sanadnya sahih)
[52] H/R Bukhari No. 4351.
[53] H/R Bukhari dan Muslim.
[54] Lihat: القواعد الْمُثْلَى فى صفات الله واسكائه الحسنى Hlm. 58. Uthaimin.
[55] Lihat: Syarah al-Akidah al-Wasitiyah. Hlm. 17-19, Ibn Taimiyah. Cetakan ketiga. al-Maktabah as-Salafiyah, Madinah al-Munawarah. Saudi Arabia.
[56] Lihat: Mujmal Iktiqad Aimmatus Salaf. Hlm. 86, Dr. Abdullah bin Abdulmuhsin at-Turky. Cetakan pertama. 1413 -1993. Muassasah ar-Risalah. Beirut.


No comments:

Post a Comment