Sunday, November 30, 2008

Menjawab Tuduhan Menjelaskan Kebenaran

Melontarkan gelaran yang buruk, gambaran negatif dan tuduhan palsu terhadap golongan yang digelar Wahhabi oleh aktivis bid’ah (mubtadi’) dan orang-orang yang sealiran dengan mereka kini sudah menjadi resam dalam masyarakat Islam.
Fitnah yang direka oleh ahli bid’ah bermula apabila generasi muda yang intelek mula mendekati dan mengamal sunnah sahihah yang dihidupkan oleh golongan yang digelar Wahhabi.Ibadah-ibadah sunnah yang diamal dan dipertahankan oleh golongan ini amat bertentangan dengan amalan tradisi bid’ah yang dipelihara oleh golongan yang sudah sekian lama terperangkap dalam amalan-amalan bid’ah yang masih dianggap sebagai bid’ah hasanah walaupun sudah jelas bahawa ia adalah bid’ah dhalalah (bid’ah yang sesat). Tulisan ini membongkar tembelang golongan mubtadi’ yang menggeruni kemunculan generasi penghidup sunnah yang digelar Wahhabi.Bacalah tulisan ini sehingga selesai supaya anda faham dan mengetahui hakikat sebenar siapa Wahhabi, siapa Salafi dan siapa yang bermazhab Syafie..

Wahhabi atau Salafi, dua kalimah ini sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia, Singapura, Indonesia, Berunai dan selatan Thailand. Tetapi dua kalimah ini belum diketahui dan difahami dengan betul oleh kebanyakan mereka walaupun sudah menjadi polemik yang berlarutan.

Tulisan ini bukan bertujuan membincang atau mendefinisikan dua kalimah tersebut, tetapi akan mendedahkan salah sangka, salah faham dan salah tanggapan kebanyakan masyarakat Islam yang mengaku sebagai golongan yang bermazhab Asy’ari akidahnya, Syafie fiqhnya dan al-Ghazali akhlaknya.

Tulisan ini akan membuktikan melalui fakta ilmiyah bahawa akidah yang dituduh sebagai akidah Wahhabi adalah merupakan akidah sahihah (akidah yang benar) mengikut manhaj Salaf as-Soleh yang menjadi pegangan Imam Syafie, Maliki, Hambali, Hanafi dan para ulama muktabar yang bermazhab as-Syafie. Malah tulisan ini akan membuktikan bahawa apa yang dituduh sebagai pegangan Wahhabi maka yang sebenarnya itulah juga pegangan Imam Abu Hasan al-Asy’ari sama ada di bidang akidah, ibadah, fiqh atau akhlak.

Moga-moga dengan terbitnya tulisan-tulisan seperti ini, insya Allah para syaitan jenis jin dan manusia tidak akan mampu menggunakan makar, talbis dan penipuan mereka yang menyeru umat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam diakhir zaman menuju jalan kesesatan melalui alasan bid’ah hasanah. Seruan mereka telah menyesatkan ramai manusia yang tertipu dengan amalan-amalan para penyesat yang terperangkap dalam kebatilan bid’ah yang dianggap sebagai sunnah atau disangka bid’ah hasanah. Akibatnya ramai umat yang telah ditipu oleh mereka yang suka memutar-belitkan fakta agama, menafsirkan agama ala aklani, sufi batini dan gaya Muktazilah yang diilhamkan oleh syaitan. Semuanya itu berlaku kerana menuruti keinginan dan tuntutan hawa nafsu dan demi memperolehi kepentingan dunia yang sedikit.

ISLAM AKAN SENTIASA TERPELIHARA

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah mengkhabarkan bahawa agama Islam dan segala ilmunya akan sentiasa terpelihara. Yang akan memelihara dan menjaganya hanyalah orang-orang yang adil. Tentunya yang paling adil ialah mereka yang digelar golongan Salaf as-Soleh[1] serta mereka yang berittiba’ serta mengikut manhaj mereka. Dikatakan begitu kerana hanya kalangan salafi yang mempertahankan agama ini dari dicemari oleh berbagai-bagai bid’ah, khurafat, syirik, kesesatan dan penyelewengan diakhir zaman.

Baginda telah mengkhabarkan perkara tersebut dengan bersabda:

يَحْمِلُ هَذَا الْعِلْمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُوْلُهُ ، يَنْفُوْنَ عَنْهُ تَحْرِيْفِ الْغَالِيْنَ ، وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِيْنَ ، وَتَأْوِيْلَ الْجَاهِلِيْنَ.

“Akan terus dipelihara ilmu agama ini dari setiap generasi oleh orang-orang yang adil (amanah), mereka sentiasa membasmi agama ini dari segala putar belit orang-orang yang melampau penyimpangannya, kedustaan orang-orang yang berdusta atas nama agama dan penafsiran orang-orang yang jahil”.[2]
Malangnya mereka yang kuat berpegang dan mempertahankan kebenaran yang diambil dan diikuti melalui manhaj Salaf as-Soleh terutama yang dipimpin oleh Imam Syafie dituduh sebagai golongan Wahhabi dan sesat. Tuduhan yang tidak berasas ini semakin hari semakin melampau.

SALAH FAHAM TERHADAP WAHHABI DAN SYAFIE

Para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah sama ada Imam Syafie, Maliki, Hambali, Hanafi dan selain mereka telah bersepakat bahawa Allah bersemayam di ‘ArasyNya, tetapi disangka oleh golongan yang mendakwa diri mereka bermazhab Asy’ari bahawa:

“Yang berkeyakinan Allah Bersemayam di atas ‘ArasyNya ialah golongan Wahhabi”

Sedangkan semua para ulama besar Salaf as-Soleh yang muktabar mereka bersepakat dan berakidah bahawa Allah bersemayam di atas ‘ArasyNya tanpa khilaf.
Siapakah Ulama Salaf yang menegaskan bahawa Allah bersemayam di ‘ArasyNya?

Imam al-Auza'ie rahimahullah, Imam ahli Syam menegaskan:

كُنَّا وَالتَّابَعُوْنَ مُتَوَافِرُوْنَ نَقُوْلُ : انَّ اللهَ عَلَى عَرْشِهِ وَنُؤْمِنُ بِمَا وَرَدَتْ بِهِ السُنَّةَ مِنْ صِفَاتِ اللهِ تَعَالَى.

"Kami dan para Tabi'in semuanya menetapkan dengan kesepakatan qaul kami bahawa: Sesungguhnya Allah di atas 'ArasyNya dan kami beriman dengan apa yang telah dinyatakan oleh Sunnah berkenaan sifat-sifat Allah Ta’ala".[3]

Imam Abu Hasan al-Asy'ari rahamahullah menegaskan al-Quran bukan makhluk dan diturunkan oleh Allah yang berada di langit. Beliau menjelaskan:

"Allah mempunyai sifat, mempunyai tangan, bersemayam di atas ‘ArasyNya dan mempunyai muka. Al-Quran itu Kalamullah bukan makhluk dan al-Quran diturunkan dari langit".[4]


Imam Abul Hasan al-Asy’ari rahimahullah berkata:

"Di atas langit-langit itulah ‘Arasy, maka tatkala ‘Arasy berada di atas langit-langit Allah berfirman: Apakah kamu merasa aman terhadap Zat yang berada di atas langit? Sesungguhnya Ia istiwa (bersemayam) di atas ‘Arasy yang berada di atas langit dan tiap-tiap yang tinggi itu dinamakan As-Sama (langit), maka ‘Arasy berada di atas langit. Bukanlah yang dimaksudkan di dalam firman: Apakah kamu merasa aman terhadap Zat yang berada di atas langit? Bukan di seluruh langit, tetapi ‘ArasyNya yang berada di atas langit."[5]


Imam Abul Hasan al-Asy’ari rahimahullah seterusnya berkata:

Sesungguhnya setelah seseorang bertanya: Apa yang kamu katakan berkenaan istiwa? Katakan kepadanya: Kami sesungguhnya berkata bahawa Allah ‘Azza wa-Jalla bersemayam di atas ‘ArasyNya yang sesuai denganNya sebagaimana firman Allah:}Ar-Rahman (Allah) bersemayam di atas ‘ArasyNya{ (QS. Taha. 5). Firmannya lagi: }KepadaNyalah naik perkataan-perkataan yang baik{ (QS. Fatir. 10). Firman Allah: }Tetapi (yang sebenarnya) Allah telah mengangkat Isa kepadaNya{ (QS. An-Nisa. 158). Firman Allah: }Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepadaNya{ (QS. As-Sajadah. 5). Firman Allah: }Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di langit bahawa dia akan menjungkir- balikkan bumi bersama kamu{ (QS. Al-Mulk. 16). Maka langit di atasnya adalah ‘Arasy, maka apabila ‘Arasy di atas langit-langit maka Allah berfirman: }Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di langit{ kerana Allah beristiwa di atas ‘Arasy di atas langit….Dan kita lihat sekalian orang-orang Islam mengangkat tangan mereka menghadap langit apabila berdoa kerana Allah Azza wa-Jalla beristiwa di atas ‘Arasy yang berada di atas langit-langit, jika sekiranya Allah Azza wa-Jalla di atas ‘ArasyNya pasti mereka tidak mengangkat tangan mereka menghadap langit (menghadap ‘Arasy)”. [6]


Imam Abu Hasan al-Asy’ari rahimahullah seterusnya menegaskan:

“Telah berkata orang-orang dari golongan Muktazilah, Jahmiyah dan al-Hururiyah:
Sesungguhnya firman Allah (Allah bersemayam di atas ‘ArasyNya)
mereka berkata Istaula (bukan istiwa) dan Allah Azza wa-Jalla di setiap tempat (فى كل مكان),
merekamenentang bahawa Allah Azza wa-Jalla di atas ‘ArasyNya”. [7]

Imam Abu Hassan Al-Asy’ari rahimahullah menjelaskan melalui hadis:

“Dari Nafi’ bin Jabir dari bapanya sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Turun Tuhan kami ‘Azza wa-Jalla setiap malam ke langit dunia, lalu berfirman: Adakah sesiapa yang meminta maka Aku akan memberinya, adakah sesiapa yang meminta pengampunan maka Aku akan mengampunkannya, sehinggalah terbit fajar”. [8]

Imam Abu Hassan Al-Asy’ari rahimahullah menjelaskan lagi:

“Sebagaimana telah dipastikan bahawa Allah Azza wa-Jalla beristiwa di atas ‘ArasyNya dan menolak semua yang bertentangan dengannya, sebagaimana yang disalin dari Ahli Rawi dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Diriwayatkan dari Nafi’ bin Jabir dari bapanya bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Tuhan kita ‘Azza wa-Jalla turun pada setiap malam ke langit dunia kemudian berfirman: Adakah sesiapa yang meminta Aku akan memberinya, Adakah sesiapa yang meminta ampun Aku akan mengampunkannya sehinggalah terbitnya fajar”. [9]

Seterusnya Imam Abu Hasan al-Asy’ari rahimahullah menekankan:

“Allah ‘Azza wa-Jalla berfiman: } Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas (langit) mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka){ An-Nahl 50. Dan Allah berfirman: }Kemudian Dia menuju langit dan langit itu masih merupakan asap{ Fussilat. 11. Dan Allah berfirman: }Kemudian Dia bersemayam di atas ‘ArasyNya, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia{ Al-Furqan 59. Dan Allah berfirman: }Kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy. Tidak ada bagi kamu selain daripadaNya seseorang penolongpun dan tidak (pula) seorang pemberi syafaat. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?{ As-Sajadah 4. Maka semua ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawasanya Allah Ta’ala di langit beristiwa di atas ‘ArasyNya. Dan langit menurut kesepakatan manusia bukanlah bumi. Maka telah menunjukkan bahawa Allah Ta’ala menyendiri dengan kewahdaniatanNya beristiwa di atas ‘Arsay dengan istiwa yang sesuai dengan kebesaranNya tanpa berhulul (menyerap) dan berittihad (bersatu)”. [10]


Imam Syafie rahimahullah menjelaskan melalui riwayat yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib radiallahu ‘

وَاَنَّ لَهُ يَدَيْنِ بَقَوْلِهِ عَزَّ وَجَلَّ (بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوْطَتَانِ) وَاَنَّ لَهُ يَمِيْنًا بِقَوْلِهِ عَزَّ وَجَلَّ (وَالسَّمَوَاتُ مَطْوِيَات بِيَمِيْنِهِ) وَاَنَّ لَهُ وَجْهًا بِقَوْلِهِ (كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ اِلاَّ وَجْهَه)...وَاَنَّ لَهُ قَدَمًا بِقَوْلِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمِ (حَتَّى يَضَعَ عَزَّ وَجَلَّ فِيْهَا قَدمَهُ) وَاَنَّ لَهُ اُصْبُعًا بِقَوْلِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (مَا مِنْ قَلْبٍ اِلاَّ هُوَ بَيْنَ اُصْبُعَيْنِ مِنْ اَصَابِعِ الرَّحْمَن) نُثبِتُ هَذِهِ الصِّفَات وَنَنفِي التَّشْبِيْه كَمَا نفِى ذَلِكَ عَنْ نَفْسِهِ تَعَالَى ذِكْرُهُ فَقَالَ (لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ)

"BagiNya dua tangan sebagaimana firmanNya:
(Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka.

BagiNya tangan
sebagaimana firmanNya: Langit digulung dengan tangan kananNya.

Allah mempunyai wajah
sebagaimana firmanNya: Setiap sesuatu akan binasa kecuali WajahNya.

Baginya kaki
sebagaimana sabda Nabi saw: Sehinggalah Dia meletakkan wajah dan KakiNya.

Dia mempunyai jari
sebagaimana sabda Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam: Tiadalah hati itu kecuali antara jari-jari dari jari-jari Ar-Rahman (Allah).

Kami menetapkan sifat-sifat ini dan menafikan dari menyerupakan sebagaimana dinafikan sendiri oleh Allah
sebagaimana difirmankan: (Tiada sesuatu yang semisal denganNya dan Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat)".[11]
Imam Syafie rahimahullah seterusnya menjelaskan:

"Dan Allah Ta'ala di atas 'ArasyNya (Dan 'ArasyNya) di langit”.[12]


Imam Syafie rahimahullah seterusnya menjelaskan lagi:

"Kita menetapkan sifat-sifat (mengithbatkan sifat-sifat Allah) sebagaimana yang didatangkan oleh al-Quran dan yang warid tentangNya dari sunnah, kami menafikan tasybih (penyerupaan) tentangNya kerana dinafikan oleh diriNya sendiri sebagaimana firmanNya (Tiada sesuatu yang semisal denganNya)".[13]


Imam Syafie rahimahullah telah menjelaskan juga tentang turun naiknya Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

وَاَنَّهُ يَهْبِطُ كُلَّ لَيْلَةٍ اِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا بِخَبَرِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

"Sesungguhnya Dia turun setiap malam ke langit dunia (sebagaimana) menurut khabar dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam".[14]

Berkata Imam Syafie rahimahullah:

"Sesungguhnya Allah di atas ‘ArasyNya dan ‘ArasyNya di atas langit"[15]




Mereka sepakat dalam meyakini tentang turun-naiknya Allah iaitu berlandaskan hadis:

يَنْزِلُ رَبُّنَا اِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا كُلَّ لَيْلَةٍ حِيْنَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرِ فَيَقُوْلُ : مَنْ يَدْعُوْنِي فَاَسْتَجِيْبَ لَهُ ، مَنْ يَسْاَلُنِيْ فَاعْطِيْهِ ، مَنْ يَسْتَغفرُنِيْ فَاَغْفِرلَهُ.

"Tuhan kita turun ke langit dunia pada setiap malam apabila sampai ke satu pertiga dari akhir malam, maka Ia berfirman: Sesiapa yang berdoa akan Aku perkenankan, sesiapa yang meminta akan Aku tunaikan dan sesiapa yang meminta keampunan akan Aku ampunkan".[16]



Abdullah bin al-Mubarak rahimahullah pernah ditanya tentang di mana Allah.



وَقِيْلَ لِعَبْدِ اللهِ بْنِ الْمُبَارَكِ : كَيْفَ نَعْرِفُ رَبَّنَا ؟ قَالَ : بَاَنَّهُ فَوْقَ السَّمَآءِ السَابِعَةِ عَلَى الْعَرْشِ

"Ketika ditanyakan kepada Abdullah bin al-Mubarak: Bagaimana kita boleh mengetahui di mana Tuhan kita? Beliau menjawab: Dengan mengetahui bahawa Dia di atas langit ketujuh di atas ‘Arasy".[17]

Allah itu di langit berdasarkan hadis sahih:

قَالَ مُعَاوِيَةُ بْنُ حَكَمُ السُّلَمِي : وَكَانَتْ لِيْ جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِيْ اُحُدٍ وَالْجُوَانِيَةِ فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَاِذَا بَالذِّئْبِ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا وَاَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِيْ آدَمَ اَسَفَ كَمَا يَاْسِفُوْنَ . لَكِنَّيْ صَكَكْتُهَا صَكَّةً فَاَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ . قُلْتُ يَارَسُوْلَ اللهِ اَفَلاَ اَعْتِقُهَا ؟ قَالَ : اِئْتِنِيْ بِهَا . فَقَالَ لَهَا : اَيْنَ اللهُ ؟ قَالَتْ : فِى السَّمَاءِ . قَالَ : مَنْ اَنَا ؟ قَالَتْ : اَنْتَ رَسُوْلُ اللهِ . قَالَ : اَعْتِقُهَا فِاِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ.

"Berkata Muawiyah bin Hakam as-Sulami: Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwainiyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya. Sedang aku termasuk seorang anak Adam kebanyakan. Maka aku mengeluh sebagaimana mereka. Kerananya wanita itu aku pukul dan aku marahi. Kemudian aku menghadap Rasulullah, maka baginda mempersalahkan aku. Aku berkata: Wahai Rasulullah, adakah aku harus memerdekakannya!" Jawab Rasullullah: Bawalah wanita itu ke sini. Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu. “ Di mana Allah? Dijawabnya: Di langit. Rasullullah bertanya lagi: Siapa aku? Dijawabnya: Engkau Rasullullah. Maka baginda bersabda: Merdekakanlah wanita ini kerana dia adalah seorang mukminah".[18]

"Sesiapa mengingkari sesungguhnya Allah berada di atas langit, maka sesungguhnya dia telah kafir. Adapun terhadap orang yang tawaqquf (diam) dengan mengatakan: Aku tidak tahu apakah Tuhanku di langit atau di bumi? Berkata al-Imam Abu Hanifah: Sesungguhnya dia telah kafir kerana Allah telah berfirman: Ar-Rahman di atas ‘Arasy al Istiwa"[19].



"Allah berada di atas langit sedangkan ilmuNya di tiap-tiap tempat (di mana-mana), tidak tersembunyi sesuatupun daripadaNya"[20]

"Benar, Allah di atas Arasy-Nya dan tidak sesiapapun yang tersembunyi daripada pengetahuanNya"[21]


"Barangsiapa TIDAK menetapkan Allah Ta'ala di atas ‘ArasyNya dan Allah istiwa di atas tujuh langitNya, maka ia telah kafir dengan Tuhannya".[22]

Berkata lagi Imam Ibnu Khuzaimah (dari kalangan ulama as-Syafieyah):

"Kami beriman dengan khabar dari Allah Jalla wa-'Ala sesungguhnya Pencipta kami Ia beristiwa (bersemayam) di atas ‘ArasyNya. Kami Tidak mengganti/mengubah kalam (firman) Allah dan kami tidak akan mengucapkan perkataan yang tidak pernah dikatakan (Allah) kepada kami sebagaimana (perbuatan kaum) yang menghilangkan sifat-sifat Allah seperti golongan Jahmiyah yang pernah berkata: Sesungguhnya Dia istawla (menguasai) ‘ArasyNya bukan istiwa (bersemayam). Maka mereka telah mengganti perkataan yang tidak pernah dikatakan (Allah) kepada mereka, ini menyerupai perbuatan Yahudi tatkala diperintah mengucapkan: Hithtatun (Ampunkanlah dosa-dosa kami), tetapi mereka mengucapkan (mengubah): Hinthah (makanlah gandum)! Mereka (kaum Yahudi) telah menyalahi perintah Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi maka seperti itulah (perbuatan kaum) Jahmiyah".[23]


Beliau menjelaskan:

"Tidak boleh mensifatkan Allah bahawa Ia berada di tiap-tiap tempat. Bahkan (wajib) mengatakan: Sesungguhnya Allah di atas langit (yakni) di atas ‘Arasy sebagaimana Ia telah berfirman: Ar-Rahman di atas ‘Arasy, Ia beristiwa.[24] Dan wajiblah memutlakkan sifat istiwa tanpa takwil, sesungguhnya Allah istiwa dengan ZatNya di atas ‘Arasy. KeadaanNya di atas ‘Arasy disebut pada tiap-tiap kitab yang Ia turunkan kepada tiap-tiap Nabi yang Ia utus tanpa bertanya (para nabi yang diutus tidak bertanya): Bagaimana caranya (Allah istiwa di atas ‘ArasyNya)?"[25]


Imam Az-Zahabi, salah seorang ulama besar bermazhab Syafie:

“Sesiapa mengingkari bahawa Allah ‘Azza wa-Jalla di langit, maka dia seorang yang kafir”.
(Lihat: مختصرالعلو للعلي الغفار oleh al-Hafiz Syamsuddin az-Zahabi. Hlm. 137).
Siapa Sebenarnya Menolak Mazhab Syafie?

Ada golongan yang sering memutar-belitkan hujjah "Di mana Allah?"
melalui ayat-ayat al-Quran yang diolah dan disalahtafsirkan melalui akal, hawa nafsu dan falsafah secara batil

Antara ayat yang disalahgunakan tentang memahami "Di mana Allah?" ialah:

اَلَمْ تَرَى اَنَّ اللهَ يَعْلَمُ مَا فِى السَّـمَاوَاتِ وَمَا فِى اْلاَرْضِ ، مَايَكُوْنُ مِنْ نَّجْوَى ثَلاَثَةٍ اِلاَّ هُوَ رَابِعُهُمْ وَلاَ خَمْسَةٍ اِلاَّ هُوَ سَادِسُهُمْ وَلاَ اَدْنَى مِنْ ذَلِكَ وَلاَ اَكْثَرَ اِلاَّ هُوَ مَعَهُمْ اَيْنَ مَاكَانُوْا ثُمَّ يُنَبِّئُكُمْ بِمَا عَمِلُوْا يَوْمَ الْقِيَامَةِ اِنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيْمٌ.

“Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang ada di bumi. Tiada perkataan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah yang keempat. Dan tiada (perkataan antara) lima orang melainkan Dialah yang keenam. Dan tiada (pula) perkataan antara (jumlah) yang kurang dari itu atau yang lebih banyak melainkan Dia ada bersama mereka di manapun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitakan kepada mereka pada Hari Kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu".
Al-Mujadalah, 58:7.


Keseluruhan ayat ini sehinggalah ke akhir ayat memperkatakan "Pengetahuan Allah atau ilmuNya" iaitu "Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah Mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi".
Ayat ini dimulakan dengan pengkhabaran bahawa Allah Mengetahui (ilmuNya) tentang apa yang di langit dan apa yang di bumi. Dia Mengetahui bisikan dua orang yang berbisik-bisik atau yang lebih dari dua orang.
Ayat ini diakhiri dengan perkataan tentang ilmu Allah, iaitu firmanNya: "Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu". Ini membuktikan Allah sentiasa bersama kita ilmuNya, bukan zatNya.[26]


Imam Ahmad telah menerangkan tentang maksud ayat ini:

اِفْتَتَحَ اْلاَيَة بِالعِلْمِ وَاخْتَتَمَهَا بِالْعِلْمِ.

"Dimulakan ayat ini dengan memperkatakan ilmu dan diakhiri juga dengan memperkatakan ilmu".[27]


Menurut Imam Ahmad bahawa yang dimaksudkan:

“Allah bersama hambaNya ialah yang bersama ilmuNya bukan zatNya",


Sebagaimana ditafsirkan oleh Ibn Jarir dari Ad-Dahak beliau menjelaskan:

"Dia (Allah) di atas 'ArasyNya dan yang bersama dengan mereka (manusia) ialah ilmuNya”.

Dan seterusnya beliau menjelaskan:
“Bahawasanya Dia menyaksikan mereka dengan ilmuNya dan Dia (Allah) di atas 'ArasyNya".[28]

Imam Ibn Katsir rahimahullah pula dengan tegas menjelaskan tentang ayat ini di dalam tafsirnya:

وَلِهَذَا حَكَى غَيْرُ وَاحِدِ اْلاِجْمَاعِ عَلَى اَنَّ الْمُرَادَ بِهَذِهِ اْلاَيَةِ مَعِيَّةُ عِلْمهُ تَعَالَى.

"Oleh kerana yang demikian, telah menceritakan bukan seorang malah secara ijmak atas kesepakatan mereka bahawa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah Allah bersama seseorang ilmuNya".[29]



Seterusnya Al-Hafiz Imam Ibn Katsir rahimahullah menjelaskan lagi:

لاَ يَغِيْبُ عَنْهُ مِنْ اُمُوْرِهِمْ شَـيْء ثُمَّ قَالَ تَعَالَى {ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا عَمِلُوْا يَوْمَ الْقِيَامَةِ اِنَّ اللهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ عَلِيْمٍ}.

"Tidak tersembunyi dari pengetahuanNya segala apapun perkara (urusan) mereka, oleh kerana itu Allah berfirman: Kemudian Dia akan memberitahukan kepada mereka pada Hari Kiamat apa yang mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu".[30]

وَهُوَ مَعَكُمْ اَيْنَمَا كُنْتُمْ.

"Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada".
(QS. Al-Hadid, 57:4).

Menurut Ahli Sunnah wal-Jamaah maksud ayat di surah Al-Hadid 57: 4 ini ialah:

“Allah bersatu dengan mereka KudratNya, pendengaran, pentadbiran, kerajaan atau dengan makna kerububiyahanNya, sedangkan Dia di atas ‘ArasyNya dan di atas segala makhluk-makhlukNya”.[31]


Sufiyan At-Thauri rahimahullah telah menafsirkan ayat di atas dengan hadis riwayat Imam Bukhari:

بِاَنَّ ذَلِكَ عِلْمُهُ كَمَا رُوِيَ ذَلِكَ عَنْهُ الْبُخَارِي.

"Sesungguhnya (apa yang dimaksudkan oleh) ayat tersebut ialah (yang bersama kita) IlmuNya sebagaimana yang telah diriwayatkan (tentang ayat tersebut) dari Bukhari".[32]


وَقَالَ الذَّهَبِى : رُوِيَ غَيْرُ وَاحِدٍ عَنْ معْدَانٍ قَالَ : سَاَلْتُ سُفْيَانَ الثَّوْرِى عَنْ قَوْلِهِ تَعَالَى : (وَهُوَ مَعَكُمْ اَيْنَمَا كُنْتُمْ) قَالَ : بِعِلْمِهِ.

"Berkata az-Zahabi: Telah diriwayatkan bukan sahaja hanya dari seorang, dari Ma'dan berkata: Aku telah bertanya kepada Sufiyan at-Thauri tentang firman Allah (Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada) beliau berkata: (Yang bersama ialah) IlmuNya".[33]


Berkata Ibn Jarir dalam menafsirkan ayat ini:

"Dia melihat kamu wahai manusia! Di mana sahaja kamu berada, Dia mengetahui (apa sahaja) tentang kamu dan mengetahui segala amal kamu.., Dan Dia di atas 'ArasyNya dan 'ArasyNya di atas langit yang ke tujuh".[34]


Abu Al-Qasim Al-Asfahani rahimahullah berkata:
"Maka jika sekiranya mereka mempersoalkan kamu tentang pentakwilan ayat (dan Dia bersama kamu di mana kamu berada) dan kamu menafsirkan (maksud ayat tersebut yang bersama ialah) IlmuNya? Kami katakan: Kami tidak mentakwilkan kerana sesungguhnya ayat tersebut menunjukkan bahawa yang dimaksudkan yang bersama ialah ilmuNya kerana Dia berfirman diakhir ayat tersebut (Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui di atas segala sesuatu)".[35]


Berkata Imam Ibnu Katsir tentang ayat ini:
"Dia (Allah) mengawasi kamu, memerhatikan segala perbuatan kamu di mana sahaja kamu berada sama ada di daratan atau di lautan, dimalam hari atau disiangnya, di dalam rumah-rumah kamu atau di luar rumah. Maka segala-galanya itu dalam pengetahuanNya (ilmuNya) tanpa terkecuali. Segala-galanya adalah di bawah penglihatanNya, pendengaranNya, maka Dia mendengar percakapan kamu, melihat kedudukan kamu, mengetahui semua rahsia-rahsia kamu dan bisikan kamu kerana Dia telah berfirman:

اَلاَ اِنَّهُمْ يَثْنُوْنَ صُدُوْرَهُمْ لِيَسْتَخْفُوْا مِنْهُ اَلاَ حِيْنَ يَسْتَغْشُوْنَ ثِيَابَهُمْ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّوْنَ وَمَا يُعْلِنُوْنَ اِنَّهُ عَلِيْمٌ بِذَاتِ الصُّدُوْرِ.

"Ingatlah, sesungguhnya (orang munafik itu) memalingkan dada mereka untuk menyembunyikan diri daripadanya (Muhammad)! Ingatlah, diwaktu mereka menyelimuti dirinya dengan kain, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka lahirkan! Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati".[36]

Seterusnya Allah ‘Azza wa-Jalla berfirman:

سَوَاءٌ مِّنْكُمْ مَّنْ اَسَرَّ الْقَوْلَ وَمَنْ جَهَرَ بِهِ وَمَنْ هُوَ مُسْتَخْفِ بِالَّيْلِ وَسَارِبُ بِالنَّهَارِ

"Sama sahaja (bagi Tuhan) siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya dan siapa yang berterus-terang dengan ucapannya itu, dan siapa yang bersembunyi dimalam hari dan yang berjalan disiang hari".[37]


Seterusnya Imam Ibnu Katsir menjelaskan:
"Tiada Ilah (yang wajib diibadahi) selain Dia, tiada Tuhan (Pencipta) selain Dia dan telah thabit di dalam hadis sahih bahawa Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam bersabda kepada Jibril semasa ditanya tentang ihsan, baginda bersabda: Hendaklah kamu menyembahNya (Allah) seolah-olah kamu melihatNya dan jika kamu tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihat kamu".[38]

Bersama dan melihat tidaklah serupa kerana tidak semestinya melihat itu bersama pada zatNya.

Berkata Abu Hayyan Al-Andelusi, At-Thauri dan juga Al-Qurtubi:

وَهُوَ مَعَكُمْ اَيْ بِالْعِلْمِ وَالقَدْرِ

"Dia bersama kamu: Yang bersama ilmuNya dan kudrahNya".[39]



Semua keterangan di atas menjelaskan bahawa "Allah Maha Mengetahui" apa sahaja yang dilakukan oleh makhlukNya dan apa yang tersemat di hatinya kerana ilmu Allah bersamanya, bukan zatnya.

قَالَ الاَلُوْسِىْ وَاْلاَيَةُ تَمْثِيْلٌ لإِحَاطَةِ عِلْمُ اللهِ بِهِمْ وَتَصْوِيْرٌ لِعَدَمِ خُرُوْجِهِمْ عَنْهُ اَيْنَمَا كَانُوْا

“Berkata Al-Alusi: Semua ayat (yang memperkatakan persoalan di mana Allah, pent.) sebagai pembuktian bahawa ilmu Allah meliputi mereka dan menggambarkan bahawa tidak terlepasnya mereka dari ilmu Allah walaupun di mana mereka berada".[40]



قَالَ الْقَاسِمِي : وَقَدْ بَسَطَ اْلإِمَامُ اَحْمَدُ الْكَلاَمَ عَلَى الْمَعِيَّةِ فِى الرَّدِّ عَلَى الْجَهْمِيّةِ : وَلَفْظُ الْمَعِيَّةِ فِى كِتَابِ اللهِ جَاءَ عَامًا كَمَا فِى هَاتَيْنِ اْلآيَتَيْنِ اَلْحَدَيْدِ وَالْمُجَادَلَةِ وَجَاءَ خَاصًافِى قَوْلِهِ تَعَالَى : (اِنَّ اللهَ مَعَ الَّذِيْنَ اتَّقُوْا وَالَّذِيْنَ هُمْ مُحْسِنُوْنَ) وَقَوْلُهِ : (اِنَّنِيْ مَعَكُمَا اَسْمَعُ وَاَرَى) وَقَوْلِهِ : (لاَتَحْزَنْ اِنَّ اللهَ مَعَنَا) فَلَوْكَانَ الْمُرَادُ بِذَاتِهِ معَ كُلِّ شَيْءٍ لَكَانَ التَّعْمِيْمِ يُنَاقِضُ التَّخْصِيْص فَاِنَّهُ قَدْ عَلِمَ اَنَّ قَوْلَهُ : (لاَ تَحْزَنْ اِنَّ اللهَ مَعَنَا) اَرَادَ بِهِ تَخْصِيْصهُ وَاَبَا بَكْرٍ دُوْنَ عَدُوِّهِمْ مِنَ الْكُفَارِ.

"Berkata Al-Qasimi: Imam Ahmad telah membentangkan bantahannya terhadap Jahmiyah tentang kepercayaan (مُعِيَّة) (Allah di mana-mana meliputi semua makhluk). Dan (Berkata Imam Ahmad): Lafaz ma'iyah (مَعِيَّةٌ) di dalam kitab Allah didatangkan secara am sebagaimana di dua potong ayat ini -al-Hadid dan al-Mujadalah - dan ada kalanya didatangkan secara khas sebagaimana firman Allah: (Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa dan mereka-mereka yang berbuat kebaikan). FirmanNya lagi: (Sesungguhnya Aku bersama kamu berdua, mendengar dan melihat). FirmanNya lagi: (Janganlah engkau berdukacita sesungguhnya Allah bersama kita). Jika sekiranya yang dimaksudkan di ayat ini bahawa zatnya berserta/bersama setiap sesuatu, tentulah jika dimaksudkan secara umum (bersama makhlukNya) ia bertentangan dengan yang khusus, sesungguhnya telah diketahui bahawa firman Allah (Janganlah engkau berdukacita sesungguhnya Allah bersama kita) jika dikehendaki (oleh Jahmiyyah) secara umum (Allah berserta makhlukNya ini tentulah di samping) bersama Rasulullah juga termasuklah Allah bersama musuh Rasulullah sedangkan Abu Bakar tidak terhitung musuh dari kalangan kuffar (musuh). Begitu juga firman Allah (Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan mereka yang berbuat baik) ayat ini khusus tidak termasuk orang-orang yang zalim dan pelaku maksiat".[41]





قَالَ اْلإِمَامُ اَحْمَدُ رَحِمَهُ الله : فَلَفْظُ الْمَعِيَّةِ لَيْسَتْ فِى لُغَةِ الْعرَبِ وَلاَ شيْء مِنَ الْقُرْآنِ اَنْ يُرَادَ بِهَا اِخْطِلاَط اِحْدَى الذَّاتَيْنِ بِاْلاُخْرَى كَمَا فِى قَوْلِهِ تَعَالَى : (مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ اللهِ وَالَّذِيْنَ مَعَهُ) وَفِىقَوْلِهِ : (فَاُوْلَئِكَ مَعَ الْمُؤْمِنِيْنَ) وَقَوْلِهِ (اِتَّقُوْا اللهَ وَكُوْنُوْا مَعَ الصَّادِقِيْنَ) وَفِى قَوْلِهِ : (وَجَاهِدُوْا مَعَكُمْ) وَمِثْلُ هَذَا كَثِيْرٌ فَامْتَنَعَ اَنْ يَكُوْنَ قَوْلُهُ (وَهُوَ مَعَكُمْ) يَدُلُّ عَلَى اَنَّ ذَاتَهُ مُخْتَلِطَةٌ بِذَوَاتِ الْخَلْقِ.

"Maka lafaz (مَعِيَّةٌ) (Yang bermaksud bersama) yang terdapat dalam Bahasa Arab dan juga di dalam al-Quran tidak pernah diertikan lafaz tersebut (bersama atau berserta) kepada pengertian: "Bercampur/bersatunya dua zat (yang berlainan) antara satu dengan yang lain. Contohnya firman Allah: }Muhammad itu utusan Allah dan orang-orang yang bersamanya{. FirmanNya: }Maka mereka itu bersama orang-orang yang beriman{. Dan firmanNya: }Bertakwalah kamu sekalian kepada Allah dan bersamalah dengan orang-orang yang siddiqin{. Ayat seperti yang dicontohkan ini amat banyak. Ayat ini dapat menghalang dari memaksudkan firman Allah (Dia bersama kamu) yang menunjukkan bahawa ZatNya meliputi sekalian zat-zat makhlukNya".[42]



Berkata Al-Qasimi rahimahullah:

"Telah menjadi kebiasaan ucapan termasuk dalam tajuk yang lain yang jelas bahawa lafaz (مَعِيَّةٌ) "bersama/berserta" dalam apa bahasa sekalipun menunjukkan berkumpul, berserta dan bersama, jika dilibatkan dengan para hamba tidak dinafikan bahawa ia menunjukkan ketinggian 'ArasyNya. Kesimpulannya lafaz ma'iyah (bersama) dalam segala tempat mengikut perkiraanNya, berserta semua makhluk IlmuNya, KudratNya serta KekuasaanNya dan dikhususkan sebahagian mereka dengan pertolongan, kemenangan dan bantuanNya".[43]




Semua nas-nas di atas menunjukkan Allah Azza wa-Jalla bersama dengan sesiapa sahaja, tetapi yang bersama adalah ilmuNya bukan zatNya, kerana Allah bersemayam di atas ‘ArasyNya yang berada di atas langit. Inilah keyakinan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh:

وَهُوَ اللهُ فِى السَّمَوَاتِ وَفِى اْلاَرْضِ يَعْلَمُ سِرَّكُمْ وَجَهْرَكُمْ وَيَعْلَمُ مَاتَكْسِبُوْنَ.

"Dan Dialah Allah (yang disembah), baik di langit atau di bumi, Dia mengetahui apa yang kamu lahirkan dan mengetahui apa yang kamu usahakan".
(QS. Al-An'am, 6:3).



Berkata al-Ajiri tentang ayat di atas dalam membantah fahaman Jahmiyah:

وَمِمَّا يَلْبِسُوْنَ بِهِ عَلَى مَنْ لاَ عِلْم مَعَهُ قَوْلُهُ تَعَالَى (وَذَكَرَ اْلاَيَةُ السَّابِقَةُ) قَالَ : وَهَذَا كُلُّهُ اِنَّمَا يَطْلُبُوْنَ بِهِ الْفِتْنَةُ وَهُوَعِنْدَاَهْلِ الْعِلْمِ مِنْ اَهْلِ الْحَقِّ (وَهُوَاللهُ فِى السَّمَوَاتِ وَفِى اْلاَرْضِ يَعْلَمُ سِرَّكُمْ وَجَهْرَكُمْ وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُوْنَ) هُوَ كَمَا قَالَ اَهْلُ الْحَقِّ : يَعْلَمُ سِرَّكُمْ مِمَّا جَاءَتْ بِهِ السُّنَنُ اَنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى عَرْشِهِ وَعِلْمُهُ مُحِيْطٌ بِجَمِيْعِ خَلْقِهِ يَعْلَمُ مَا تُسِرُّوْنَ وَمَاتُعْلِنُوْنَ يَعْلَمُ الْجَهْرَ مِنْ الْقَوْلِ وَيَعْلَمُ مَاتَكْتُمُوْنَ.

"Dan apa yang meyelubungi mereka yang tidak berilmu tentang firman Allah lalu berkata: Dan ini pada keseluruhannya sesungguhnya memerlukan penjelasan dari ahli ilmu dan ahli hak, yang mana pada hakikatnya (Dialah Allah Yang disembah), baik oleh mereka yang berada di langit ataupun di bumi, Dia Mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan Mengetahui apa yang kamu usahakan iaitu sebagaimana yang dikatakan oleh ahli kebenaran: Dialah Yang Mengetahui rahsia kamu sebagaimana yang didatangkan beritanya oleh sunnah-sunnah bahawasanya Allah 'Azza wa-Jalla di atas 'ArasyNya dan IlmuNya meliputi seluruh makhlukNya, Dia Mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan, Mengetahui perkataan yang terang dan Mengetahui apa yang tersembunyi".[44]


Terdapat beberapa ayat yang menyerupai (maksud) ayat di atas, iaitu firman Allah:

وَهُوَ الَّذِيْ فِى السَّمَآءِ اِلَهٌ وَفِى اْلاَرْضِ اِلَهٌ.

"Dan Dialah Tuhan (Yang disembah) di langit dan Tuhan (Yang disembah) di bumi".
(QS. Az-Zukhruf, 43:84.)

Pengertian Ilah ialah: "Tuhan yang berhak disembah/diibadahi" iaitu Tuhan Yang Esa yang disembah oleh makhluk di langit (para Malaikat) sebagaimana Dia juga Tuhan Yang Maha Esa yang disembah oleh makhluk di bumi".[45]

Adapun nas-nas di dalam al-Quran atau hadis-hadis sahih yang menjelaskan bahawa Allah di langit: "Allah bersemayam di atas 'ArasyNya" telah diulang berkali-kali.
bersambung...
Nota kaki:
[1] Lihat: Buku “ Manhaj Salaf Akidah Salaf “. Oleh Rasul bin Dahri, Terbitan Jahabersa. Johor Bahru.
[2] Disahihkan oleh Al-Albani. Lihat: Al-Misykah.
[3] Lihat: Fathul Bari. Jld. Hlm. 406. Ibn Hajar al-Asqalani. Dar Ihya at-Turath al-Arabi. Beirut.
[4] Lihat: Iktiqad Aimmatul hadis hlm. 50-51. Ismaili.
[5] Lihat: Al-Ibanah an-Usul ad-Dianah. Hlm. 48.
[6] Lihat: الابانة عن اصول الديانة oleh Imam Abu Hasan Al-Asy’ari. Hlm. 97-98. Lihat: الأسماء والصفات oleh Al-Baihaqi. Lihat: التوحيد وصفات الرب oleh Al-Imam Ibn Khuzaimah. Lihat: العلو لعلي الغفار oleh Az-Zahabi.
[7] Lihat: الابانة عن أصول الديانة hlm. 97.
[8] Lihat: Al-Ibanah an-Usul ad-Dianah. Hlm. 99 – 100.
[9] Lihat: Al-Ibanah an-Usul ad-Dianah, hlm. 99. Dikeluarkan oleh Ad-Darimi, Ibn Majah 1367. Ibnu Khuzaimah dalam “At-Tauhid” 87. Ahmad 4/16. Al-Ajiri dalam “As-Syariah” 310-311. Isnadnya sahih, rijalnya thiqah dan perawinya termasuk perawi Bukhari dan Muslim.
[10] Lihat: Al-Ibanah an-Usul ad-Dianah. Hlm 100.
[11] Lihat: Iktiqad Aimmah al-Arba'ah Abi Hanifah wa Malik wa Syafie wa Ahmad. Hlm. 46- 47. Cetakan pertama. 1412 -1992. Darul 'Asimah Saudi Arabia.
[12] Lihat: Iktiqad Aimmah al-Arba'ah, Abi Hanifah, Malik, Syafie wa- Ahmad. Hlm. 40.
[13] Ibid. Hlm. 42.
[14] Ibid. Hlm. 47.
[15] Ibid. 179.
[16] H/R Bukhari (1141), Muslim (758), Abu Daud (4733), Turmizi (4393), Ibn Majah (1366) dan Ahmad (1/346).
[17] Lihat: As-Sunnah. Hlm. 5. Abdullah bin al-Imam Ahmad.
[18] H/R Muslim dan Abi Daud.
[19] Lihat: Mukhtasar al-Ulum, Hlm. 137. Imam Az-Zahabi. Tahqiq al Albani.
[20] Ibid. Hlm. 140.
[21] Ibid. 188.
[22] Lihat: Ma'rifah Ulum al-Hadis. Hlm. 84. Riwayat yang sahih, dikeluarkan oleh al-Hakim.
[23] Lihat: Kitabut Tauhid Fi Ithbatis Sifat. Hlm. 101. Oleh Ibnu Khuzaimah.
[24] Surah Taha, 20:5.
[25] Lihat: Fatawa Hamwiyah Kubra. Hlm. 84.
[26] Lihat: علاقة الاثبات والتفويض بصفات رب العالمين Hlm. 80. Redza bin Nu'san Mu'ti.
[27] Ibid.
[28] Lihat: الشريعة Hlm. 298. al-Ajiri. Ditahkik oleh Hamid.
[29] Lihat: Tafsir Ibn Kathir, jld. 4. hlm. 322.
[30] Ibid.
[31] Lihat: القواعد الْمُثْلَى فى صفات الله واسمائه الحسنى Hlm. 58. Uthaimin.
[32] H/R Bukhari فى خلق افعال العباد. Lihat: الشرعة hlm 298. Al-Ajiri. الابانة الكبرى Jld. 1. Hlm. 194.
[33] Lihat: علاقة الاثبات والتفويض بصفات رب العالمين hlm.81. Redza bin Nu'san Mu'ti.
[34] Lihat: تفسير الطبري jld. 27. hlm. 125.
[35] Ibid. Jld. 2. hlm. 186.
[36] QS. Hud, 11:5.
[37] QS. Ar Ra'd, 13:10.
[38] Lihat: تفسير ابن كثير. Jld. 4. Hlm. 304.
[39] Lihat: البحر المحيط Jld. 9. Hlm. 217. Dan تفسير القرطبى Jld. 18. Hlm. 137.
[40] Lihat: علاقة الاثبات والتفويض بصفات رب العالمين hlm. 82. Redza bin Nu'san Mu'ti.
[41] Ibid. Hlm. 82-83.
[42] Ibid.
[43] Lihat: محاسن التأويل. Hlm. 5674. Al-Qasimi.
[44] Lihat: عَلاَقة الاثبات والتفويض بصفات رب العالمين. Hlm. 83-84.
[45] Lihat: الشرعية. Hlm. 298.

No comments:

Post a Comment