Monday, November 3, 2008

Melafazkan Niat : Bid`ah Atau Sunnah ??

Hukum Melafazkan Niat
Antara isu yang sering dipolemikkan adalah penolakan sesetengah pihak terhadap melafazkan niat “Usholli Fardhu (Sahaja aku solat fardhu)….” sebelum mengerjakan ibadah solat. Menurut mereka tindakan ini (tidak membaca niat) boleh mencacatkan ibadah solat kerana niat itu adalah rukun dalam solat dan jika ditingggalkan maka terbatallah solat tersebut menurut syara’. Dalil wajibnya niat adalah hadis daripada ‘Alqamah bin Waqqash al-Laitsi radhiallahu 'anhu , dia berkata: قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى.

Aku mendengar Umar bin Khattab berkata di atas mimbar:
“Aku mendengar Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Tiap-tiap amal perbuatan tidak lain adalah berdasarkan niat
dan balasan bagi setiap amal manusia sesuai dengan apa yang diniatkan
(HR.Bukhari dan Muslim di dalam kitab Sahihnya )
ya... hadith tentang niat itu memang benar .. sahih , namun dimanakah riwayat yang mengatakan adanya pelafazan niat ?? niat tempat nya di dalam hati , bukan di mulut , melafazkan niat adalah menjadi satu perkara yang harus di lakukan oleh sebahagian besar kaum muslimin , dan realiti membuktikan banyak perkara yang saya temukan pelafazan niat untuk menambah susah dalam beribadah , tujuan saya menulis artikel ini bukan untuk menuduh atau menghukum tata cara ibadah seseorang, tujuan artikel ini hanya untuk mengajak para pencinta sunnah beramal dengan tata cara yang benar ... dengan ittiba` (mengikut contoh kepada rasulullah ) , sedikit beramal tetapi dengan mengikut sunnah lebih baik, daripada banyak tetapi penuh dengan bid`ah . artikel ini saya nukilkan dari kuliah yang saya ikuti oleh ustadzuna abu farouq al-athari dan sedikit tambahan bahan dari saya ...
Setiap amalan wajib di sertai dengan niat seperti yg di sabdakan oleh rasulullah shalallahu wa`alaihi wassalam :
سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى الْمِنْبَرِ

قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
.
Aku mendengar Umar bin Khattab berkata di atas mimbar:
“Aku mendengar Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Tiap-tiap amal perbuatan tidak lain adalah berdasarkan niat
dan balasan bagi setiap amal manusia sesuai dengan apa yang diniatkan
(HR. Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka )
Niat menurut pengertian bahasa dimaksudkan: “Qasad (maksud yang digerak dan dikehendaki oleh hati), azam (atau ‘azamul qalb, iaitu apa yang telah dicita-citakan di hati) dan iradah (iaitu al-iradatul jazimah, iaitu kehendak keinginan hati dalam keadaan yang sedar).

Adapun menurut syara’, niat adalah: “Berazam (bertekad) untuk melaksanakan ibadah semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah


Qasad, 'azam dan iradah tempatnya di hati, kerana ia adalah kerja hati
bukan kerja lidah. Oleh itu, niat tidak perlu dilafaz atau diucapkan, inilah yang
disepakati oleh jumhur ulama dan etimologis. Niat juga diertikan sebagai: “Kehendak,
maksud (tujuan) dan keazaman” bukan paksaan. (Lihat: الشرح الممتع على زاد المستقنع , Hlm.
283. Jld. 2. Muhammad bin Soleh al-Uthaimin)
Dalam bukunya Ighatsatu’l Lahfan, Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan:
Niat artinya menyengaja dan bermaksud sungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu. Dan tempatnya ialah di dalam hati, dan tidak ada sangkut-pautnya sama sekali dengan lisan…

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah tentang hadis “Tiap-tiap amal perbuatan tidak lain berdasarkan niat..”:
Setiap pekerjaan harus didasari dengan niat. Al-Khauyi mengatakan, “Seakan-akan Rasulullah memberi pengertian bahawa niat itu bermacam-macam sebagaimana perbuatan. Seperti orang yang melakukan perbuatan dengan motivasi ingin mendapatkan redha Allah dan apa yang dijanjikan kepadanya, atau ingin menjauhkan diri dari ancaman-Nya.

Sebahagian riwayat menggunakan lafaz al-Niyat dalam bentuk mufrad (tunggal) dengan alasan, bahawa tempat niat adalah dalam hati sedangkan hati itu satu, maka kata niyat disebutkan dalam bentuk tunggal…

Tambah Ibnu Hajar al-Asqalani lagi:

Imam Nawawi mengatakan, bahawa niat bererti maksud, iaitu keinginan yang ada dalam hati. Tetapi Syaikh al-Karmani menambahkan, bahawa keinginan hati adalah melebihi maksud.

Baidhawi berkata: “Niat adalah dorongan hati untuk melakukan sesuatu sesuai dengan tujuan, baik mendatangkan manfaat atau menolak mudarat, sedangkan syari’at adalah sesuatu yang membawa kepada perbuatan yang diredhai Allah dan mengamalkan segala perintah-Nya.”

Dari keterangan di atas dapatlah kita membuat rumusan bahawa: “Setiap amal seseorang mukmin yang terbit dari kehendak, azam, cita-cita dan gerak hatinya yang disedari dan tidak dipaksa, maka itulah yang dinamakan niat.”

Jadi.. Sebelum memulakan apapun jenis ibadah, tidak perlu menyusun atau mereka-reka
ayat (jumlah) niat untuk dibacakan pada setiap amal, sama ada dengan suara jahrah
(kuat) atau perlahan. Penyusunan niat sehingga menjadi sebuah ayat tidak pernah
berlaku di zaman Rasulullah atau zamah Salaf as-Soleh (generasi awal umat Islam).

Amal ibadah merupakan bentuk tindakan dan perlakuan yang dilaksanakan dalam
keadaan sedar. Niat pula ialah urusan hati yang berkait dengan keikhlasan di samping
berniat dalam keadaan sedar sebelum mengerjakan sesuatu amalan perbuatan. Tidak
ada orang yang berniat, kecuali dia telah sedar apa yang akan dikerjakan yang terbit
dari apa yang diniatkan. Oleh itu apabila berniat hendaklah benar-benar ikhlas,
kerana antara syarat sahnya niat ialah ikhlas. Ikhlas pula bertentangan dengan riyak,
َا“Menunjuk-nunjuk”, 'ujub “bangga diri”, kibriyak “membesarkan diri” dan tidak angkuh/ego ( “sombong diri/keakuan”. Oleh yang demikian, apabila berniat tidak boleh diiringi dengan riyak, ‘ujub, kibriyak dan ananiyah kerana semuanya itu membatalkan niat ibadah kerana Allah Azza wa Jalla.
Seseorang yang melafazkan niat dengan tujuan untuk diperdengarkan atau untuk
memberitahu Allah bahawa ia mahu melakukan ibadah, maka perbuatan tersebut
adalah kejahilan dan sia-sia, kerana Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
segala apa yang terpendam di hati manusia walaupun ia tidak melafazkannya kepada
Allah. Keikhlasan dan niat adalah asas ibadah. Oleh sebab itu Allah tidak menyuruh
kita beribadah kecuali dengan ikhlas.
Bagaimana Nabi Shalallahu 'Alaihi Wasallam Memulakan Solat
Antara hadis-hadis yang menggambarkan bagaimana baginda shallahu 'alaihi wasallam memulakan solatnya adalah seperti berikut:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

يَسْتَفْتِحُ الصَّلاَةَ بِالتَّكْبِيرِ
.

Dari Aishah dia berkata: “Sesungguhnya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam membuka solatnya dengan Takbir.” (Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 498)
عَنْ عَلِيٍّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:

مِفْتَاحُ الصَّلاَةِ الطُّهُورُوَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ.

Dari Ali bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Kunci solat ialah berwuduk, pembukaannya membaca takbir, dan penutupnya ialah memberi salam.”( Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata: “Hadis ini adalah yang paling sahih dalam bab ini”. Al-Albani menilainya hasan sahih dalam Shahih Sunan al-Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 3)
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ افْتَتَحَ التَّكْبِيرَ

فِي الصَّلاَةِ فَرَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ يُكَبِّرُ
.

Dari Abdullah ibn Umar radhiallahu’anhuma, dia berkata:
“Aku melihat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam membuka solatnya dengan takbir, lalu mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir.”
(HR.Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 738)
Masih banyak lagi dalil-dalil yang membuktikan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam memulakan solatnya dengan lafaz takbir. Hadis-hadis ini kesemuanya menunjukkan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tidak melafazkan apa-apa perkataan pun sebelum takbir. Maka dengan ini Ahl al-Sunnah berpendirian untuk tidak melafazkan niat seperti “Ushollli Fardhu (Sahaja aku solat fardhu)..” ketika memulakan solat sebagaimana yang kebiasaan diamalkan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia. Ini adalah dalam rangka mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam ibadah solat sepertimana yang diwajibkan ke atas kita sebagaimana sabdanya:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat
(HR.Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631)
Pandangan Al-Syafi’i Tentang Melafazkan Niat

al-Syafi’i rahimahullah memang terkenal sebagai seorang imam yang teguh dalam berpegang kepada sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Oleh sebab itu beliau telah diberi gelaran al-Nashir al-Sunnah (pembela sunnah). Ahmad bin Hanbal rahimahullah yang juga anak murid al-Syafi’i pernah berkata: “Sungguh al-Syafi`i rahimahullah adalah seorang pembela sunnah.” Menurut Ahmad lagi: “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih mengikut sunnah seperti al-Syafi`i rahimahullah.” Ahmad seterusnya berkata: “Di antara kesungguhan al-Syafi`i rahimahullah yang terpuji adalah apabila dia mendengar hadis yang belum ada padanya, maka dia mengambilnya dan meninggalkan pendapatnya.”
Dinukil daripada kitab Manhaj Aqidah Asy-Syafi’i Rahimahullah Ta’ala oleh Muhammad A.W. al-‘Aqil (edisi terjemahan oleh H. Nabhani Idris, Pustaka asy-Syafi’i, Bogor, 2002), ms. 80.)
Dengan semangat beliau yang tinggi dalam mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam maka tidak aneh sekiranya pandangan beliau tentang apa yang perlu diucapkan ketika hendak memulai solat adalah selari dengan sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Berkata al-Syafi’i rahimahullah dalam kitab beliau al-Umm: “Siapa yang pandai membaca takbir, niscaya tidaklah dia memulakan solatnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah Allahu Akbar.”( al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk) (edisi terjemahan oleh Prof. TK. H. Ismail Yakub, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1989), jld.1, ms. 241. )
Menurut Mohammad Abdul Qoder al-Mandeeli: “Adapun orang yang berkata sunat berlafaz (niat) sebelum takbir, maka perkataannya menyalahi perkataan al-Syafi’i sendiri.”
(Mohammad Abdul Qoder al-Mandeeli, Persoalan Yang Berkehendak Kepada Melaksanakan Untuk Mengatasi dan Mengubah Adat-Adat Yang Berlaku Dalam Masyarakat Dengan Sangkaan Ibadat, (Makkah al-Mukarramah 1423H), ms. 16.)
Kekeliruan Tentang Pendapat Imam Al-Syafi’i Mewajibkan Lafaz Niat

Pendapat bahawa al-Syafi’i rahimahullah telah mewajibkan melafaz niat sebelum solat berpunca dari kekeliruan Abu Abdulah al-Zubairi rahimahullah (seorang tokoh bermazhab Syafi’i) dalam memahami kata-kata al-Syafi’i yang berbunyi: “Jika kamu berniat untuk haji dan umrah dianggap memadai sekalipun tidak dilafazkan, tidak seperti solat, tidak dianggap sah kecuali dengan al-Nuthq.” Bagi al-Zubairi al-Nuthq di sini bermaksud dilafazkan niat. Namun begitu maksud al-Nuthq yang sebenar adalah takbiratul ihram iaitu solat itu dimulakan dengan melafazkan takbir.
Menurut al-Nawawi rahimahulah:

“Berkata para sahabat kami: Telah berlaku kesilapan oleh orang yang mengatakannya,kerana bukan itu yang dimaksudkan oleh asy-Syafi’e tentang apa yang diucapkan pada solat, tetapi yang dimaksudkan ialah supaya diucapkan niat)”. (Lihat: ) .المجموعة 2 /234))
Ibn Abi al-‘Izz rahimahullah pula berkata:
Tidak ada seorang ulama’ pun dari imam empat, tidak al-Syafi’i mahupun yang lainnya yang mensyaratkan melafazkan niat. Menurut kesepakatan mereka, niat itu tempatnya di dalam hati. Hanya sahaja sebahagian ulama’ kebelakangan mewajibkan seseorang melafazkan niatnya dalam solat. Dan pendapat ini digolongkan sebagai mazhab al-Syafi’i. Al-Nawawi rahimahullah berkata: “Itu tidak benar ( Dinukil daripada Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 100.)
Pendapat Ulama’ Yang Menolak Memulakan Solat Dengan Melafazkan Niat

Berkata Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah:
Jika Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam berdiri untuk solat, maka beliau mengucapkan takbir, tanpa mengucapkan apa pun sebelumnya, tidak melafazkan niat dan tidak seorangpun di antara sahabat, tabi’in dan imam yang empat pernah melakukannya. Kebiasaan beliau saat takbiratul ihram adalah melafazkan ‘Allahu Akbar’ tanpa ucapan lain.
(Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Mukhtasar Zaadul Ma’ad Bekal Menuju Akhirat, (diringkaskan oleh Muhammad Abdul Wahhab at-Tamimi, edisi terjemahan oleh Kathur Suhardi, Pustaka Azzam, Jakarta, 1999) ms. 19.)



Di dalam kitab-kitab ulama fiqh seperti Imam asy-Syafi’e, Hanbali, Maliki dan
Hanafi yang sentiasa berpegang kepada sunnah, maka tidak seorang pun dari mereka
membolehkan berniat dengan kuat .
Perkara ini telah diperjelaskan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah:
“Melafazkan niat secara jahrah tidak pernah disyariatkan walaupun oleh salah seorang ulama Muslimin, tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tidak pernah dilakukan oleh salah seorang dari para Khulafa baginda, tidak pernah dilakukan oleh para sahabat baginda dan juga tidak pernah dilakukan oleh para Salaf al-ummah dan para ulamanya”.
(Lihat: al-Fatawa al-Kubra, Jld. 1. Hlm. 1. IbnTaimiyah. Terbitan. Darul al-Ma’arif. Beirut. Lubnan).

Abu ar-Rabii Sulaiman bin ‘Umar al-Syafi’i rahimahullah berkata:

Mengeraskan suara ketika membaca lafaz niat dan membaca ayat-ayat al-Qur’an
( Antara ayat al-Qur’an yang sering dianjurkan untuk dibaca sebelum memulakan solat adalah surah al-Nas. Ini adalah bertujuan untuk menghilangkan gangguan syaitan dan perasaan was-was supaya dapat khusyuk ketika bersolat. Namun begitu amalan ini tidak pernah dianjurkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, para al-Salaf al-Soleh mahupun para imam yang empat. Sekiranya amalan ini benar-benar baik dan bermanfaat kepada manusia nescaya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam tidak akan lupa untuk mengajarkannya kepada para sahabat baginda dan pasti akan wujud hadis-hadis yang menganjurkannya. Wallahu’alam) di belakang imam bukanlah dari sunnah, sebaliknya makruh. Jika yang dikerjakan itu boleh mengganggu orang lain yang sedang solat maka hukumnya menjadi haram. Sesiapa yang mengatakan bahawa mengeraskan suara semasa melafazkan niat itu sunnah, maka pendapat itu adalah salah. Tidak dihalal kepada sesiapapun untuk mengatakan sesuatu dalam agama Allah tanpa ilmu.
(Dinukil daripada buku Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 98.)

Berkata Abu Abdullah Muhammad bin al-Qasim at-Tunisi al-Maliki rahimahullah:

Niat adalah pekerjaan hati, mengeraskan lafaz niat adalah bid’ah
(Bid’ah dari segi bahasa adalah suatu yang diada-adakan yang tidak ada contoh sebelumnya. Maksud bid’ah dari segi syari’at adalah satu amalan yang diada-adakan dalam agama yang tidak ada dasarnya dari syari’at malah bertentangan dengan syari’at dengan bertujuan untuk membuat aturan baru dan berlebihan dalam beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.)
selain itu juga boleh mengganggu penumpuan orang lain.

Berkata ‘Alauddin bin al-‘Attar rahimahullah:

Mengangkat suara semasa berniat sehingga mengganggu orang yang bersolat adalah haram secara ijma’ dan melakukannya adalah bid’ah yang tercela. Jika hal itu dilakukan kerana riak (menunjuk-nunjuk) berarti orang yang mengerjakannya melakukan perkara yang haram sebanyak dua kali (melakukan perbuatan bid’ah dan riak – pen)…Perbuatan macam ini (mengeraskan lafaz niat) tidak pernah dinukil dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, tidak dari seorangpun sahabat Nabi, mahupun ulama’ yang benar-benar mengikuti ajaran Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam .(Dinukil daripada buku Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 98-99)

Abu Daud rahimahullah pernah bertanya kepada Imam Ahmad rahimahullah: “Adakah orang yang mendirikan solat wajib melafazkan sesuatu sebelum takbir?” Imam Ahmad menjawab: “Tidak.”(IBID)

Antara perkara yang sering berlaku di dalam masyarakat kita adalah pengulangan melafazkan niat dan mengangkat takbir berkali-kali kerana adanya perasaan was-was bahawa niat yang dilafazkan itu tidak betul sehingga membatalkan solatnya. Tindakan ini boleh menganggu kekhusyu’kan jemaah lain yang solat berhampiran. Sikap sebegini sebenarnya timbul di atas kejahilan seseorang dan ia merupakan satu perbuatan bid’ah yang tercela.

Berkata al-Suyuti rahimahullah:
“… daripada bid’ah itu adalah, was-was sewaktu berniat dalam solat. Hal ini tidak pernah diperbuat oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam mahupun sahabat beliau. Mereka dulu tidak pernah melafazkan niat solat sedikitpun selain hanya lafaz Takbir. Allah Ta’ala telah berfirman:

Demi sesungguhnya,
adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.. (al-Ahzaab (33): 21)

Al-Syafi’i rahimahullah berkata:
Was-was dalam berniat semasa solat atau bersuci berpunca dari kejahilan atau kerosakan akal.(Dinukil daripada buku Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 99-100)

Ibnu al Jawzi rahimahullah dalam kitabnya Talbis Iblis (ms. 138) berkata:

Di antara kesan negatif mengeraskan lafaz niat adalah mengganggu orang lain. Ada di antara mereka yang membaca ‘Ushali shalaata Kadzaa (aku niat mengerjakan solat ini atau itu). Kemudian dia akan mengulang lafaz itu kerana pada sangkaannya niat tersebut telah batal. Padahal niat itu sendiri tidak pernah batal sekalipun tidak diucapkan. Di antara mereka ada yang bertakbir, kemudian membatalkan takbirnya, lalu bertakbir lagi dan membatalkan takbirnya. Jika imam sudah nak mulai rukuk, orang yang was-was ini akan segera bertakbir dan ikut rukuk. Apa sebenarnya yang diperbuat olehnya? Itu semua adalah godaan iblis yang menghendaki dia tidak mendapatkan keutamaan (mengikut rakaat pertama bersama imam). Ada juga di antara orang yang diserang penyakit was-was bersumpah untuk tidak bertakbir hanya sekali. Ini semua sebenarnya godaan iblis. Syari’at Islam sesungguhnya mudah dan bebas dari hal-hal seumpama itu. Perbuatan seperti ini tidak pernah dikerjakan oleh Nabi mahupun sahabatnya.

Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah:

Ungkapan-ungkapan (lafaz niat ) yang dibuat-buat (direka – pen) dan diucapkan pada permulaan bersuci (wuduk) dan solat ini, telah dijadikan oleh syaitan sebagai arena pertarungan bagi orang-orang yang diliputi was-was, yang menahan dan menyiksa mereka dalam lingkaran tersebut, dan menuntut mereka untuk menyempurnakannya. Maka anda lihat masing-masing mereka mengulang-ulanginya dan bersusah-payah untuk melafazkan padahal sedemikian itu sama sekali tidak termasuk dalam ibadah solat.(Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld.1, ms. 286.)

Semoga dengan penjelasan ini maka jelaslah bahawa tindakan Ahl al-Sunnah untuk tidak melafazkan niat bukanlah termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan solat mereka malah inilah yang lebih sesuai dengan sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dan mazhab al-Syafi’i rahimahullah. Sesungguhnya orang-orang beriman itu apabila diseru kepada allah dan rasul nya maka mereka akan segera datang menyahutnya sebagaimana dalam firman allah :
Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman
ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya,
supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka,
hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat":
dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya
dan takut melanggar perintah Allah, serta menjaga dirinya
jangan terdedah kepada azab Allah,
maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan
(QS.An-Nuur (24): 51-52)
wallahu`alam
akhukum fillah
hfz

2 comments: